*Artikel ini boleh dicetak semula dengan menyertakan biografi ringkas penulis.
.
Menguruskan bisnes adalah satu tugas hebat yang seronok. Ia banyak berasaskan dari satu falsafah dan sistem kepercayaan. Membina kepercayaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia adalah satu proses. Proses ini mengambil masa.
Kepercayaan juga adalah satu perkara yang sangat subjektif. Kayu ukurnya, tidak ada satu yang standard untuk semua orang. Walaubagaimanapun, unsur kepercayaan ini boleh diurus. Ramai usahawan mengalami masalah untuk berkembang dan kekal dalam bisnes. Salah satu punca utama adalah kesukaran untuk mengurus unsur percaya dalam organisasi bisnes tersebut.
Terdapat pelbagai cara pendekatan untuk mencapai objektif ini. Tetapi, pada kebanyakan masa, ramai usahawan sendiri tidak dapat menjelaskan bagaimana mereka menguruskannya. Kemahiran mengurus ini adalah salah satu faktor yang menentukan kebolehan usahwan untuk tetap berada dalam bisnes.
Kejayaan pengurusan sesuatu bisnes banyak bergantung kepada diri usahawan sendiri. Kepercayaan dan falsafah yang dipegang oleh seorang usahawan juga menjadi tunjang kepada keutuhan sesebuah bisnes.
Usahawan yang berjaya mempunyai kepercayaan dan falsafah dalam urusan mengendalikan bisnes mereka. Berikut adalah beberapa penjelasan yang saya kongsikan.
1. Tujuan dan objektif bisnes yang jelas.
Hampir kesemua usahawan berjaya yang saya temui menekankan tentang pentingnya mempunyai tujuan dan objektif bisnes yang jelas. Samada saiz perniagaan itu besar atau sederhana, tujuan dan objektif bisnes akan menentukan kejayaannya.
Ianya boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian yang bermula dari diri usahawan itu sendiri.
- Tujuan peribadi usahawan membuka bisnes
- Setiap usahawan yang berjaya mempunyai niat tersendiri yang tertanam dalam diri masing-masing. Niat atau ‘purpose’ inilah menjadi akar kepada tujuan usahawan itu. Ini menjadi pegangan dan tidak berubah-ubah.
Jadi niat itu mestilah satu niat yang kuat!
Contoh niat bisnes yang lemah:
- Saya mahu berbisnes untuk menolong ibu bapa saya di kampong.
- Saya mahu berbisnes agar saya punya masa yang lebih untuk keluarga.
Niat yang jelas dan tepat dapat menjadi sokongan kepada usahawan apabila mereka dilanda masa sukar dalam bisnes.
- Objektif bisnes
- Setiap usahawan berjaya dalam bisnes apabila mereka mempunyai objektif bisnes yang jelas. Ini biasa disebut sebagai misi dan visi syarikat. Kewujudan misi dan visi yang jelas membolehkan syarikat dan usahawan berkembang dengan serentak melalui rancangan strategik yang berkala dan berjadual.
- Objektif bisnes perlu diteliti semula apabila masa yang sesuai tiba. Pada kebiasaannya ia diubah semula apa bila perlu. Kebanyakan usahwan melakukannya secara tahunan.
2. Sistem
Apabila menyebut perkataan sistem, ramai yang membayangkan perkakasan dengan teknologi canggih dan terkini. Tidak kurang juga yang membayangkan bahawa ia adalah sesuatu yang hanya dipunyai dan sesuai untuk syarikat besar yang mempunyai banyak wang.
Sistem adalah mengenai tatacara dan prosedur asas yang ada dalam setiap jenis perniagaan yang usahawan jalankan. Hatta, menjual nasi lemak di simpang jalan juga perlu mempunyai sistemnya sendiri. Bagaimana mengambil order, pembungkusan, bayaran adalah antara system yang ada bagi seorang penjual nasi lemak.
Sistem yang didokumentasikan adalah menjadi ‘harta’ kepada usahawan itu sendiri. Lebih cepat ia mula ditulis dan didokumenkan, lebih cepat juga perniagaan seseorang usahawan itu dapat berkembang. Dokumen ini juga dikenali sebagai ‘Standard Operating Prosedur’.
Sistem yang ringkas adalah permulaan kepada pengurusan hebat untuk operasi sesebuah bisnes. Ia boleh bermula dengan mendokumenkan carta alir, proses dan skrip ucapan.
3. Perkakas bisnes
Niat dan sistem semata-mata tidak akan menjana wang dengan mudah untuk bisnes. Menjana wang yang banyak, tetapi tidak dapat mengembangkannya adalah satu kegagalan besar dalam bisnes!
Terdapat banyak perkakas bisnes yang ada untuk digunapakai oleh usahawan agar dapat berkembang dangan cepat dan selamat. Metod dan cara penggunaan yang sesuai akan membantu usahwan mencapai objektif bisnes.
Antara perkakas bisnes adalah, bisnes kanvas, rancangan bisnes, analisa SWOT dan banyak lagi. Perkakas tertentu hanya sesuai untuk keadaan dan model bisnes yang tertentu. Perkakas bisnes juga dapat membantu usahawan mengurangkan risiko rugi dalam bisnes.
Perkakas bisnes adalah sesuatu yang dinamik. Ia digunakan untuk keperluan bisnes yang berbeza pada tahap bisnes yang berebeza.
4. Strategi and taktik.
Pada kebanyakan masa, usahawan terlalu fokus pada taktik bisnes. Mereka berlumba-lumba mahu meniru taktik pemain dalam industri bisnes. Malah ramai yang melakukannya tanpa punya strategi yang jelas untuk bisnesnya.
Kebiasaannya strategi adalah sesuatu yang disusun oleh usahawan itu sendiri berdasarkan objektif bisnes yang jelas seperti di atas. Selepas itu, barulah tatacara iaitu taktiknya disusun atur. Taktik boleh dilakukan oleh semua ahli organisasi bisnes mengikut kedudukan dan tugas masing-masing.
Antara strategi yang perlu wujud dikalangan orang bisnes termasuklah strategi pengurusan, strategi pengembangan bisnes dan strategi ‘exit’.
Tentukan strategi bisnes. Taktiknya akan datang menyusul dengan mudah.
5. Sumber manusia.
Generasi kini melihat bagaimana banyak bisnes dijalankan hanya dengan 2 atau 3 orang. Mereka bekerja dalam kumpulan kecil, namun mampu menjana pendapatan bulanan syarikat yang mencecah puluhan ribu.
Walaubagaimanapun, tidak semua jenis bisnes boleh dijalankan sedemikian. Bisnes sentiasa melibatkan keperluan modal insan dan sumber manusia yang besar.
Mempunyai ramai pekerja tidak bermakna syarikat bisnes itu hebat. Ia tidak dinilai sebegitu. Tetapi, mempunyai sekumpulan manusia hebat yang mendokong falsafah bisnes yang asama dalah kuncinya.
Dengan istilah lain, individu yang hebat dan tepat didalam organisasi adalah asset kepada syarikat dan bisnes. Individu yang hebat dan tepat ini pula perlu diletakkan di posisi yang betul.
Berbisnes bukan semata-mata berurusan dengan wang. Wang itu sendiri perlu diuruskan oleh manusia.
Dalam apa jua jenis bisnes yang diusahakan, seorang usahawan bukan hanya memerlukan bakat berniaga semata-mata. Usahawan yang Berjaya adalah mereka yang mempunyai bakat dan kemahiran.
Bakat boleh di pupuk, kemahiran boleh dipelajari. Kelajuan setiap usahawan bergantung secepat mana kemhiran dikuasai dan sekuat mana bakatnya itu dipupuk.
Mereka yang berbakat mempunyai lebih kelebihan. Namun, mereka yang berkemahiran mampu untuk lebih berjaya dengan bakat yang dipupuk secara berterusan!
Teks: Noraminah Omar
.