Bisnes Pendidikan Kanak-kanak: Kisah 1

 

Nota: Artikel ini boleh diulang cetak dengan menyertakan biografi penulis.

.

Dari Korporat ke Bisnes Separa Hayat

Wong adalah seorang wanita bekerjaya dalam industri korporat. Beliau merupakan salah seorang pegawai jualan yang memegang akaun luar negara dalam syarikat yang beliau bekerja.

Wong sudah agak berusia berbanding dengan adik-beradiknya yang lain. Memandangkan beliau adalah antara yang paling berjaya (dalam kerjaya) dalam keluarga dan masih belum berkahwin, maka beliau diberikan tanggungjawab oleh adik-beradik yang lain tunuk menjaga kedua ibu bapa mereka.

Hingga kini, Wong masih tinggal bersama ibu bapa di rumah keluarga.

Setelah hampir 15 tahun bekerja, Wong bercadang untuk memulakan bisnes. Memandangkan kepada keinginan dan perancangan peribadi, Wong memilih untuk  menjalankan bisnes dalam bidang pendidikan kanak-kanak, iatiu tadika.

Beliau mempersiapkan diri dengan mengambil kursus pendidikan awal kanak-kanak dengan tujuan untuk membuka bisnes tadika. Beliau juga mempelajari banyak selok-belok memulakan bisnes itu daripada rakan sekelas dan juga pembacaan semasa tempoh belajar.

Dengan pengalaman bekerja di bidang korporat, Wong adalah antara pelajar yang sangat berjaya. Cara beliau menyusun dan meguruskan semua tugasan secara bertulis dan praktikal juga sangat tersusun. Beliau tamat pengajian dengan cemerlang.

Setelah tamat dan mendapat sijil diploma, beliau telah memilih untuk mengambil sebuah program francais tadika untuk dimulakan. Wong membuat keputusan itu memandangkan beliau belum ada cukup pengalaman mengajar dan berbisnes dalam bidang itu.

Sistem français yang beliau pilih juga adalah dari luar negara. Beliau membuat penelitian dan membuat pilihan berdasarkan kajiannya itu.

Beliau sangat tekun dan mengambil semua langkah-langkah pembukaan bisnes dengan teliti. Beliau telah meneliti beberapa model bisnes dan sudah bersetuju untuk mengambil sebuah jenama bisnes pendidikan dengan sistem pengurusan dan konten pembelajaran yang sudah siap.

Pada tahun berikutnya, beliau membuka tadika di sebuah taman perumahan yang baru dibuka. Lokasi dan kawasan perumahan adalah sangat berpotensi. Wong adalah seorang yang berdedikasi dan bersungguh.

Memandangkan kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan pekerja, beliau sendiri melakukan tugas dan kerja harian di premis bisnes beliau itu.

Walaubagaimanapun, selepas  7 bulan beroperasi dengan akaun yang rugi setiap bulan, Wong terpaksa menutup perniagaannya dan menjual semua asset di tadika satu persatu. Meskipun masih ada ibu bapa yang merayu kepada beliau untuk meneruskannya, beliau tekad untuk berhenti.

Apabila kami berbual, beliau menceritakan beberapa perkara yang membuatkan beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada bisnes pendidikan:

1. Beliau sudah menggunakan hampir 90% wang simpanan untuk berbisnes.

Pulangan bisnes tidak seperti yang dijangkakan. Beliau terpaksa menambahkan wang untuk menanggung perbelanjaan bisnes.

2. Lokasi yang dipilih adalah strategik.

Namun, kependudukan di situ adalah 60% penyewa rumah. Manakala, keluarga yang berpindah adalah keluarga yang masih baru. Bermakna jumlah anak kecil sangat sedikit.

3. Komposisi penduduk tidak sama dengan data daripada pihak  pemaju kawasan. Beliau mendapati majoriti Melayu dan bangsa asing yang rupanya menyewa rumah di situ memberikan kesan kepada penerimaan pasaran kepada tadika yang dibukanya itu.

(Tadika beliau menggunakan bahasa Inggeris dan menawarkan program bahasa Mandarin dengan harga yang premium.)

4. Meskipun sistem pembelajaran lengkap sedia, beliau tidak mempunyai cukup kepakaran mengurus sumber manusia, iaitu guru yang mengajar tahap pendidikan awal kanak-kanak yang tidak biasa dengan pengurusan korporat.

5. Beliau tidak mendapat bantuan penuh atau konsultasi untuk menguruskan bisnes dari segi pemasaran dan jualan, meskipun bahagian sistem pendidikan adalah sempurna.

6. Beliau mendapati bahawa suasana berbisnes sendirian tidak memberikan beliau cukup motivasi untuk meneruskan bisnes.

 

PELAJARAN

Mempunyai bisnes tidak bermakna kita menjadi usahawan.

Gelaran usahawan tidak memberi sebarang makna apabila ianya hanyalah satu lagi jenis ‘kerja’ yang mengikat diri kita.
.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.